Langkah Stabilkan Harga - Malaysia Import Sayur,Ikan Dari Aceh RM1j Sebulan - @IsmailSabri60 #DSIS
Malaysia menyasarkan untuk mengimport sayur-sayuran dan ikan bernilai hampir RM1 juta sebulan dari Aceh menjelang Mei depan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, negara ini mengimport kira-kira 400 tan sayur serta 45 tan ikan dari wilayah berkenaan.
Ia sebahagian daripada langkah menstabilkan harga di pasaran tempatan dan import mungkin akan bertambah bergantung kepada kualiti, harga dan penawaran, katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Aceh di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, Malaysia juga akan memasarkan kira-kira 500 produk asas tani ke Aceh melalui penubuhan Agrobazar Malaysia di sana mulai Mei nanti.
Menurutnya, Malaysia juga sedang mengkaji untuk membina kilang makanan haiwan di Aceh.
Katanya, kementerian juga mungkin mengimport lembu hidup atau menternak lembu di wilayah itu dan membawa pulang sebahagian daripadanya.
Sementara itu Gabenor Aceh, Dr H. Zaini Abdullah, berkata kerjasama dengan Malaysia bakal meningkatkan pendapatan rakyat wilayah itu yang majoritinya petani, penternak dan nelayan.
"Kami menyambut baik kerjasama dagangan ini. Ia cukup memberi semangat kepada kami yang sedang dalam pembangunan," katanya.
MoU ditandatangani itu adalah antara PT Nafasindo, iaitu anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan PT Keluarga Manget Sabe dan PT Pandu Buana Nusantara bagi tujuan mengimport sayur-sayuran.
MoU turut ditandatangani antara Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dengan Inter Sulair Hasil Laut dan Udi Camar Laut untuk mengimport ikan.
Ulasan
Catat Ulasan