Polis Nafi Laporan Forensik Rogol Amah Hilang


IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima laporan forensik daripada Jabatan Kimia dan juga pihak hospital berhubung dakwaan seorang exco negeri Perak merogol pembantu rumah warga Indonesia.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata dakwaan pemilik akaun Facebook 1 Malaysia Tolak DAP bahawa laporan forensik dilaporkan hilang adalah palsu.

“Kenyataan tidak bertanggungjawab yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook tersebut merupakan satu fitnah yang mampu mencabar kewibawaan polis yang menjalankan tugas dengan telus dan teliti.
“Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh PDRM Perak berhubung kenyataan pemilik akaun Facebook 1 Malaysia Tolak DAP itu,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, tular di laman media sosial status pemilik akaun tersebut yang berbunyi "Laporan forensik kes rogol exco DAP Perak dilaporkan hilang. Bagaimana boleh hilang? Ada tangan ghaibkah yg mengarahkan laporan forensik tersebut dilenyapkan?" dengan mengaitkan kenyataan media Ketua Wanita MCA.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata pihaknya ingin menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan polis, menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik PDRM, terutamanya PDRM Perak.

Pada 9 Julai lalu, exco berusia 49 tahun itu disiasat polis selepas disyaki merogol pembantu rumahnya.

Difahamkan, mangsa tampil membuat laporan polis selepas mendakwa dirogol di kediaman lelaki itu di Meru, Ipoh.

Ulasan