Wan Azizah Akui PKR Berdepan Masalah Disiplin
SHAH ALAM: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengakui PKR sekarang ini berdepan dengan masalah disiplin.
Pengakuan itu dibuat Wan Azizah ditengah-tengah komitmen Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipersoal kerana didakwa sudah lapan bulan tidak hadir mesyuarat PKR.
Pada masa yang sama, bekas Presiden PKR itu dilihat mula ikut serta ‘menekan’ Mohamed Azmin apabila mengingatkan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun Perdana Menteri tetapi masih hadir tetap program parti.
“Ini satu peringatan, sama juga untuk diri saya sendiri, ada hal parti dan ada juga hal rasmi.
“Kalau kita lihat sebagai rujukan dan contoh, Perdana Menteri sendiri yang berpengalaman 22 tahun sebagai Perdana Menteri masih memberi ruang untuk hal parti.
“Sebab kita naik pun atas dasar parti. Jadi bagus jika kita kuatkan parti kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas hadir majlis makan malam di sini malam ini.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, Mohamed Azmin tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan Mesyuarat Biro Politik sejak pemilihan parti tahun lalu.
Sebagai rekod, Timbalan Presiden PKR itu yang kini bertelagah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak hadir ke pemukiman PKR di Port Dickson baru-baru ini, di mana beliau dijadualkan berucap.
Dalam pada itu, diminta mengulas lanjut isu masalah disiplin PKR, Wan Azizah mendakwa cabaran tersebut tidaklah sebesar ketika Presiden masih di dalam penjara.
“Kita ada sedikit masalah dengan disiplin, tetapi kita sudah berdepan cabaran sebelum ini terutama ketika Presiden dalam penjara,” katanya. -UM
Ulasan
Catat Ulasan