Tarik Balik Cadangan Akta Lindungi Lelaki Dari Tergoda - Anwar


KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta supaya Senator Mohamad Imran Abd. Hamid menarik balik cadangannya mewujudkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, PKR menolak cadangan tersebut kerana ia dilihat tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

“Cadangan tersebut juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji.

“Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kelmarin di Dewan Negara, Mohamad Imran mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Pesara tentera laut daripada PKR itu memberitahu Dewan Negara, gesaan itu dibuat supaya golongan lelaki ‘selamat’ dan seterusnya ‘negara jadi aman’.

Berita berkaitan: SENATOR PKR MAHU LELAKI DILINDUNGI DARI GANGGUAN SEKSUAL

Ulasan